Disebabkan teringin nak buat sendiri kuih ni, gigih aku carik acuan dia kat shopee. Tapi lepas dah sampai acuannya, aku tak buat pun. Irdina selalu la tanya bila mama nak buat. Sebenarnya macam-macam resepi aku dah save tapi tak berani pun nak buat. Akhirnya resepi kuih cara che nom jugak aku rasa berani nak try. Terima kasih che nom 🥰
MEMORI 1
Zaman sekolah rendah dulu, darjah 1 kot. Habis sekolah biasanya aku dengan kakak aku malas nak berebut naik van kalau dah penuh. Semua gelojoh nak balik kan. So, berhimpit-himpit dalam van tu memang sengsara giler la. Tak tahan bau nafas, bau peluh masing-masing. Mujur tak de bau ketiak lagi. Budak-budak kan. Hahah. Kesimpulannya, aku dan kakak aku biasanya akan tunggu pakcik van datang semula ambik kitorang kali ke-2
Masa ni tempat yang kitorang selalu lepak tunggu van datang ialah kantin. Aku selalu la join kakak aku dengan kawan-kawan dia main getah. Rasa macam aku sorang je kot darjah 1, lain semua baya kakak aku. Eh, korang tau ke main lompat-lompat getah tu. Ala, yang lompat paras lutut, paras pinggang, paras bahu. Macam gempak je kalau boleh lepas paras kepala. Siap ada paras 1 jengkal, 2 jengkal dari kepala. Hmm, kalau korang tak pernah main mesti korang serabut baca. Maka, marilah kita tamatkan kisah lompat getah ni kat sini. Titik
Yang cerita sebenar aku nak kisahkan kat sini, pernah la ada 1 kali tu acik kantin tiba-tiba bawa keluar 1 dulang kuih cara. Katanya nah ambikla, free je. Wah, berdesup-desup kitorang perabih. Sedap oii. Haa kenangan manis ni, berapa tahun berlalu pun aku masih ingat. Kuasa sedekah. Tiber. Terima kasih acik kantin, susah-susah je bagi free kat kami. Haa baru nak ucap terima kasih kisahnya.
MEMORI 2
Tiba-tiba dah peperiksaan akhir tahun. Aku ingat lagi masa aku ambil result, kena pergi depan kelas cikgu pegang bahu aku dan cakap,
"zanariah, cikgu minta maaf awak dapat no terakhir."
Aku macam blur-blur katak masa tu. Biasalah budak-budak kan, mana kisah pun dapat no berapa pun. Tapi rupanya bukan takat dalam kelas je weyy, tapi dalam seluruh budak-budak sekolah darjah 3 tu aku memang dapat markah corot. Kesimpulannya kerana result aku tu aku yang asalnya budak kelas pertama sejak darjah 1 turun masuk kelas terakhir sekali
Bayangkan ok, daripada darjah 1 sampai darjah 3 semua kawan-kawan sekelas aku majoriti orang-orang yang sama je. Tak pernah berubah. Alih-alih darjah 4 masuk kelas terakhir sekali aku tak kenal sorang pun dalam kelas tu. Dah jadi macam budak baru. Siap budak-budak kelas tu pun pandang pelik kat aku sebab dorang pun tak pernah kenal kan. Aku jenis skema tau dalam kelas, senyap je bila cikgu mengajar. Tapi ko tau tak, bila masuk kelas belakang ni dia punya feel lain tau. Stail cikgu mengajar pun tak serius dan tak laju macam masa aku kelas pertama dulu. Budak-budak lelaki dia boleh tahan nakal la. Sekarang aku cakap nakal la sebab sekarang aku dah pangkat mak-mak kann. Tapi masa aku umur 10 tahun tu memang bagi aku, jahat giler budak-budak laki kelas aku ni.
Aku tak tau la apa masalah dorang ni, suka kacau aku, tendang kaki aku. Eh macam bongok je bila ingat balik. Aku mana la reti melawan. Habis-habis pun nangis je la. Kahkah. Adoi. Bencinya pergi sekolah masa tu. Tapi ada la jugak benda yang macam lawak bila ingat balik. Ada sorang ni, dia suka la kacau aku (aku benci giler dia masa tu) tapi dalam masa sama sibuk pulak dia nak tunjuk-tunjuk dia punya komik. Komik tu dia lukis sendiri la. Beria nak tunjuk kat aku. Aku tengok gitu-gitu je la. Nyesal pulak tak baca elok-elok. Aku ni dah ler kipas-susah-mati komik. Hmphh, apa-apa la, benda dah lepas ponn. Mesti dia kecewa aku malas baca penat-penat dia hasilkan komik tu. Kahkah. Nasib ler
Ada satu lagi kes, masa tu aku kat rumah la, bukan kat sekolah. Nak pergi kedai. Aku dulu memang dressing bongok sikit, pakai seluar short & tshirt je pergi kedai. Pastu aku rasa macam diekori gitu. Bila aku toleh belakang macam ada sekumpulan budak-budak lelaki cuba menyorok. Esoknya baru aku tau budak-budak kelas aku rupanya. Boleh pulak dorang membawang kat sekolah pasal aku pakai seksi giler. Sejak tu kat rumah pun aku pakai baju kurung guys. Takut kena intip dan dibawangi lagi. Kahkah.
So, berbalik kepada kisah kuih cara tadi ye para hadirin sekalian, haa jauh kita menyimpang yee. Waktu rehat aku tak de kawan, sorang-sorang je. Best friend aku masa darjah 3 pun dah takde, kelas dah jauh guys. Hari yang malang tu, cewahh, aku pun pergi la beli kuih cara ni. Ok, benda penting ni. Masa darjah 4 first time aku pergi sekolah pakai tudung okay. Tengah syok makan tu, kuih cara tu meletops pulak gula dia habis dahh kena tudung aku yang putih suci murni mak aku basuh guna sabun attack woi. Pastu, kebetulan pulak geng-geng kelas top (ex class mate aku ler) ada dan ternampak situasi hina tu. Aku terus bangun dari bangku kantin tu sebab aku rasa malu giler dan telan laju-laju baki kuih cara tu. Hahah. Aku rasa sebiji kot aku terus sumbat dalam mulut. Sempat lagi perabih. Favorite katanya
Aku lari jalan belakang sekolah sambil tengok tudung aku yang comot giler tu. Eii sadis betul. Tiba-tiba aku rasa kuih cara tadi tu terlekat kat tekak aku. Nak muntahkan tak boleh, nak telan pun tak boleh. Lama kot aku usaha nak keluarkan kuih tu dari tekak. Siap aku rasa muka aku panas sebab dah sesak nafas dah masa tu. Tapi akhirnya berjaya jugak la kuih tu ditelan atau diluah. Aku pun dah tak ingat. Bila fikir balik, isyhh mujur tak mati, umur masih panjang. Takde pulak aku trauma nak makan lagi kuih ni pastu. Mungkin ni la dia mati semut kerana gula, mati zana kerana kuih cara. erk